Hujung minggu ini @ 30 September 2012 adalah tarikh tutup permohonan Pengisian DGA32 (KUP) ke DGA32 Hakiki atau ringkasnya kita panggil iGPK32 akan tamat. Iklan ini bertujuan memilih, menapis dan menyaring permohonan mereka yang berada pada gred DGA32 (KUP) dan berminat mengisi jawatan penyelia di PPD, JPN dan sebagai Guru Penolong Kanan di sekolah pada tahun 2013. Ini adalah sesi siri ketiga dilaksanakan apabila proses perlantikan mereka ini diletak di bawah bidang kuasa Pengarah Pelajaran negeri.
Dua siri pemilihan yang lepas kita telah melaksanakan prosidur proses pemilihan yang ketat berasaskan garis panduan yang disediakan oleh KPM namun kita terlepas "segelintir" kumpulan pengurusan sekolah yang tidak mencapai “piawaian” sebagai Guru Penolong Kanan yang sepatutnya. Piawaian yang kita harapkan adalah seorang GPK yang berkemahiran, berpengetahuan, berintegriti tinggi, hormat ketua, hormat rakan sejawat,mempunyai visi dan misi kecemerlangan organisasi, pemimpin yang boleh membantu transform organisasi ke arah yang lebih gemilang dan terbilang.
Malangnya kita menerima maklumbalas pengurusan sekolah dan warga sekolah ada segelintir yang melepasi kelayakan yang dianugerahkan amanah sebagai GPK sangat mendukacitakan. Bukan sahaja tidak cekap mengurus, tidak cekap berkomunikasi tapi bersikap negative,malas mempertingkatkan pengetahuan dan ilmu tetapi juga pencetus hura-hara dalam organisasi, bermulut longkang, rendah degree integritinya dan menyusahkan ramai orang. Kadang-kadang mengunakan nama pegawai di jabatan atau PPD kononnya untuk menghalalkan cara dan tindakan semborono. Justru itulah timbul tuduhan kalangan guru-guru kononnya GPK ini kroni si anu dan si anu seperti terkeluar dalam Bualbicara USR. Walhal pegawai-pegawai yang diguna nama mereka tidak tahu menahupun. Mereka bukan dilantik atau proksi pegawai berkenaan tetapi diluluskan panel peringkat PPD dan JPN.
Memilih GPK adalah memilih Guru Besar untuk masa depan. Justru itu kesilapan memilih GPK akan menyebabkan kesilapan melantik Guru Besar dan bakal menghancurkan reputasi pendidikan di sekolah. Kita mungkin boleh membuat analogi sendiri bahawa segelintir Guru Besar yang bermasalah sekarang adalah lahir daripada GPK masa lalu. Kesilapan besar lagi Guru Besar masa itu ialah menilai prestasi GPK secara sembarangan bukan secara holistik. Terdapat kecenderungan di kalangan sebilangan kita Guru Besar "mengeluarkan" GPK bermasalah dengan memberi prestasi yang baik. Lantas mereka mungkin tersenarai dalam calon tawaran sebagai Guru Besar. Maka berlakulah “tragedi” berpanjangan ini.
Justru itu kita mohon bagi pemilihan siri ketiga ini, agar Guru Besar membuat penelitian yang betul dengan betul permohonan calon mana yang perlu diketengahkan. Tilik taakul secara keseluruhan aspek personaliti calon dari segi perwatakan, sahsiah, kemahiran, pengetahuan, pengalaman supaya calon berkenaan dapat memenuhi kreteria sebenar sebagai pemimpin sekolah. Tanggungjawab Guru Besar di sini amat penting kerana kita adalah penyokong pertama. Pertama akan menentukan kedua, ketiga dan seterusnya. Kita bukan sekadar hendak memilih calon GPK tetapi kita hendak menentukan juga calon Guru Besar pada masa depan yang bakal mengambil alih tempat kita. Kita tentunya tidak rela mewariskan apa yang kita bina dengan jerih-perih kepada mereka yang tidak berupaya dan lemah.
Kita juga mengharapkan pasukan panel PPD akan membuat penelitian yang lebih ketat untuk menyaring dan menapis calon sebelum dikemukakan kepada panel negeri. Kita tidak boleh lagi memandang mudah implikasi jangka panjang yang bakal menimpa akibat kesilapan kecil yang kita buat. Kita kadang-kadang merasa muak dengan karenah yang ditimbulkan sedangkan sesuatu perkara itu amat remeh-temeh.
Kita juga akan mencadangkan kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia,KPM supaya bukan sahaja kebenaran untuk melantik dan meluluskan permohonan perletakan jawatan GPKsekarang terletak di bawah bidang kuasa Pengarah Pelajaran negeri tetapi juga menambahsatu lagi kuasa kepada Pengarah Pelajaran Negeri menurunkan pangkat GPK kepada Guru Penolong kepada GPK-GPK yang tidak perform dan bermasalah. Selain kita boleh menggunakan kaedah percubaan selama enam bulan atau setahun. Selain memperkenalkan program mentoring berterusan. Kita yakin dengan cara-cara ini tidak ada lagi segelintir GPK ini menganggap jawatan GPK itu lesen untuk bermegah, berseronok membuli orang lain dan sebagainya tetapi sebagai satu amanah besar yang selalu diauditkemampuannya.
Sementara kepada majoriti sahabat Guru Penolong Kanan yang sentiasa positif dan proaktif gunakan platform GPK anda sebagai peluang untuk mempelajari teknik dan kaedah mengurus sekolah dengan berkesan. Jika suatu masa nanti anda diizinkan Allah menjawat jawatan Guru Besar, anda akan berada di kerusi Guru Besar dengan penuh penghormatan kerana ada sememangnya layak untuk mendudukinya.
Petikan dari :http://unitrendahspsjpnt.blogspot.com/2012/09/sembang-sabtu-memilih-bakal-pengurus.html
Labels : wallpapers Mobile Games car body design Hot Deal









